BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, October 1, 2010

         A) secara umum

 

Kesan fizikal
Kesan fizikal dapat dilihat daripada beberapa aspek. Ini termasuk pengaruhnya terhadap sistem penting pada tubuh manusia seperti sistem pernafasan, saraf, jantung, metabolisme, dan otot-otot. Dengan kata lain, keadaan diri penagih menjadi tidak terurus, proses kehidupan akan terjejas dan menjadi tidak normal. Kesan ini menjadi lebih ketara apabila dadah digunakan dengan berlebihan. Kadar pernafasan penagih menjadi lebih pendek dan perlahan, kadar degupan jantung berkurangan serta tubuh menggigil akibat penurunan kadar metabolisme badan. Mata menjadi merah dan kuyu serta berat badan terjejas. Penagih juga mungkin mengalami sawan dan gangguan fungsi otak. Ini sukar dipulihkan jika berlaku secara berterusan dan berulang-ulang.

Kesan mental dan emosi
Kesan ini lazimnya dipanggil kesan psikologi iaitu kesan akibat pengaruh dadah pada otak dan minda. Ini termasuklah rasa seronok dan khayal (euforia). Penagih seakankan tidak berpijak di alam nyata. Pada masa yang sama seseorang itu hilang kawalan diri dan pemikiran. Mereka tidak segan silu melakukan perkara yang aib serta tidak mempunyai rasa tanggungjawab. Perasaan ini akan berterusan selagi dadah masih terdapat dalam tubuh pesakit, malah semakin lama seseorang itu menggunakan dadah lebih banyak pula jumlah dadah diperlukan untuk mendapatkan euforia. Fenomena ini disebut lali di mana kesan euforia daripada dadah berkurangan apabila ia digunakan berulang-kali. Inilah yang membuatkan seseorang itu tidak putus-putus mencari dan meningkatkan penggunaan dadah.
            Sekiranya bekalan dadah tidak diperoleh penagih akan berasa keluh-kesah, gian, dan amat menderita. Matanya akan berair, hidung berhingus, perut berasa sakit dan perit, kadang-kala muntah dan cirit-birit. Mereka boleh bertindak ganas dan hilang kawalan emosi. Bahkan ia boleh melakukan pelbagai perbuatan jenayah kerana cuba mengatasi rasa gian, baik dengan cara mengendap, mencuri atau membunuh sekalipun. Apabila rasa ketagih berterusan, penagih mungkin juga mengalami gangguan mental dan menjadi tidak waras, seolah-olah gila. Ia mula melakukan sesuatu yang tidak masuk akal yang berlawan dengan tatasusila dan peradaban masyarakat. Pendek kata, badan tidak lagi berfungsi dengan sempurna dan amat sukar untuk dipulihkan seperti sediakala.

Kesan Sosial
Kebanyakan penagih akan hilang minat dan tidak mempedulikan tanggungjawab terhadap pekerjaan, keluarga serta masyarakat sekeliling mereka. Prestasi dan disiplin kerja mula merosot, tingkah laku dan sikap berubah daripada apa yang biasa diamalkan atau diperhatikan sebelumnya. Mereka juga tidak lagi menghiraukan kesihatan dan kebajikan sebelumnya. Penderaan serta keganasan terhadap ahli keluarga juga boleh berlaku. Ini selalunya menimbulkan kemarahan dan perasaan jijik orang ramai terhadap mereka. Banyak daripada penagih tidak tinggal bersama keluarga. Ini ialah kerana mereka mahu lebih bebas terlibat dalam aktiviti pengambilan dadah. Mereka hidup di tempat-tempat yang tersorok atau terpencil untuk memudahkan mereka menggunakan dadah. Keadaan mereka diibaratkan seperti hidup segan, mati tak mahu. Dunia mereka pula hanya akan dapat dipuaskan dengan dadah sahaja. Kesudahannya, mereka akan tersisih sama sekali dan semakin jauh daripada apa jua bentuk bantuan yang membolehkan mereka kembali semula ke pangkuan masyarakat. Mereka ini akan terus menderita selagi ajal belum tiba. Sesiapa yang terjerumus di dalam kancah penagihan ini amat sukar untuk melepaskan diri.

           B) Kesan Kepada Remaja

 

Kesan Emosi
William James (1884) menyatakan emosi adalah perubahan perasaan yang bertindak sebagai reaksi kepada sesuatu yang menarik yang berlaku di sekeliling. Di peringkat usia remaja, mereka mengalami konflik atau krisis mencari identiti dan kekeliruan peranan. Fasa remaja sering dianggap sebagai fasa yang sangat tidak stabil dalam perkembangan manusia. Pendapat Elkind menyatakan bahawa remaja memiliki semacam perasaaninvu lnerabil ity iaitu keyakinan bahawa diri mereka tidak mungkin mengalami keadaan yang membahayakan diri. Keadaan ini menyebabkan remaja seringkali terjebak dengan penyalahgunaan dadah. Kesan emosi yang ketara hasil tindak balas dadah terhadap remaja tersebut seperti sepat marah, panik dan mungkin mengalami kemurungan.
Remaja yang ketagihan dadah menunjukkan perubahan emosi yang sangat jelas, sama ada menjadi terlalu gembira, asyik ketawa, berperangai buruk atau menjadi pendiam dan tidak mahu melakukan aktiviti. Remaja yang mengambil ganja suka bunyi bising, jadi mereka mungkin memasang radio atau televisyen sekuat hati. Emosi akan menjadi tidak stabil akibat kesan dadah. Apabila mengambil dadah, mereka berasa lebih yakin dan gembira, sebaliknya menjadi murung dan gelisah jika tidak mendapat dadah. Apabila keinginan untuk mendapatkan dadah tidak dapat dipenuhi, akan berlaku gangguan dan ketidaktenteram jiwa. Remaja yang dalam keadaan ketagihan dadah yang memuncak mungkin akan bertindak agresif untuk menghilangkan ketagihan dadah yang sedang dialami.
Menurut Teori Emosi Plutchik (1980), gabungan emosi primer marah dan benci akan menghasilkan emosi sekunder iaitu emosi agresif. Emosi agresif akan diterjemah melalui tindakan agresif remaja yang ketagihan dadah. Untuk mengatasi rasa gian dadah remaja sanggup melakukan apa sahaja sehingga bertindak ganas malahan sanggup melakukan pembunuhan. Menurut Perunding Terapi Penagihan Chris Sekar, kesan kronik penyalahgunaan dadah adalah kebergantungan kepada dadah yang dipecahkan kepada tiga jenis iaitu kebergantungan yang menyebabkan seseorang itu berfungsi seperti berasa gembira, kebergantungan fizikal seperti badan ada keinginan memuncak pada dadah dan kebergantungan minda seperti fikiran asyik tertumpu pada dadah. Penyalahgunaan dadah seperti ganja memberi impak yang kuat kepada otak sehingga menyebabkan penagih mengalami psikosis iaitu sakit mental yang teruk. 

Kesan Sosial
Perkembangan sosial pada waktu remaja lebih melibatkan kelompok teman sebaya dibandingkan orang tua. (Congar, 1991; Papalia & Olds, 2001). Dalam tahap perkembangan psikososial yang dikemukakan oleh Erikson, tugas utama yang dihadapi oleh remaja ialah membentuk identity yang stabil, kesedaran mengenai perubahan pengalaman dan peranan yang mereka miliki dan mengakhiri zaman kanak-kanak dan memasuki alam dewasa yang akan mereka tempuhi (Stevens-Long & Cobb, 1993). Kegagalan menyedari peranan dan membentuk personality yang betul dan faktor tekanan psiko-sosial menyebabkan remaja sering terjebak dalam kancah najis dadah dan juga pelbagai perkara negatif yang lain.
Secara umumnya, remaja yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah akan mula menjauhkan diri daripada keluarga dan rakan-rakannya. Mereka lebih cenderung untuk bersama kelompok yang terlibat sama dalam aktiviti penyalahgunaan dadah. Kebanyakan penagih akan hilang minat dan tidak mempedulikan tanggungjawab terhadap dirinya sendiri, keluarga dan masyarakat. Prestasi dalam bidang akademik mahupun pekerjaan merosot, tingkah laku dan sikap berubah daripada apa yang biasa diamalkan ataupun diperhatikan sebelumnya. Mereka juga tidak menghiraukan kesihatan dan kebajikan sebelumnya.
Remaja yang ketagihan dadah tiada kecerdasan interpersonal. Kecerdasan Interpersonal menurut teori pelbagai kecerdasan Gardner ialah keupayaan untuk memahami niat orang lain dan mengenal pasti matlamat pendorong orang lain untuk bekerja. Mereka ini tidak suka mempunyai ramai kawan, tidak gemar menyertai aktiviti berkumpulan dengan rakan-rakan dan tidak bijak bersosialisasi dalam masyarakat.
Kesan penyalahgunaan dadah mendorong remaja melakukan jenayah seperti merompak, mencuri dan jenayah yang boleh menjejaskan ketenteraman masyarakat. Implikasi dadah juga mengakibatkan remaja hilang kawalan dalam pergaulan sosial. Mereka cenderung untuk melakukan seks bebas di bawah pengaruh dadah. Kesan pengambilan dadah Metamfetamin atau ICE misalnya boleh menyebabkan remaja tersebut bertindak ganas dan berkemungkinan terlibat dalam pergaduhan dan cenderung melakukan delinkuen. Masalah-masalah lain mungkin interaksi antara ibu bapa dan remaja itu sendiri akan semakin renggang dan berkemungkinan remaja tersebut melarikan diri dari rumah dan tinggal bersama rakan-rakan yang sealiran dengannya.

0 comments: